Dengan Bismillah Kita Mulaikan

Sabtu, 29 Oktober 2011

Agama dan Pantun Melayu

Agama dan Pantun Melayu

ros
sekadar hiasan
Mengungkap kembali makna atau maksud pantun.
Pantun dalam erti kata lain ialah alat ekspresi bagi kehidupan, khususnya berunsurkan pengajaran dan nasihat. Di sini penulis ingin bercerita tentang tema pantun agama dan mengajak pembaca memahami hubungan agama dalam pantun Melayu.
Persoalan agama diungkapkan dalam pantun yang bertemakan hukum-hakam, tauhid, amalan syariat, rukun iman dan rukun islam yang bersifat kerohanian dan menjurus ke alam akhirat. Manakala pantun yang mengarah kepada pembinaan peribadi melalui aturan budi dan nilai-nilai murni adalah termasuk dalam pantun moral.
Menurut Bazrul Bahaman dalam kertas kerjanya, “Pantun sebagai Alat Pengucapan Agama Masyarakat Nusantara”, sikap orang Melayu yang suka berselindung dan menyampaikan sesuatu secara indah menyebabkan pantun muncul sebagai alat pengucapan agama yang mempunyai peranan yang penting dalam menyampaikan ajaran Islam.
Contoh pantun agama:-
1.
Asamnya kandis asam gelugur,
Ketiganya dengan asam remenia,
Nyawa menangis di pintu kubur,
Hendak kembali ke dalam dunia.
2.
Serindit terbang rendah,
Terbang mari menyonsong angin,
Siapa tauhid kepada Allah,
Masuk syurga jannatunnaim.
3.
Sirih dagang tumbuh di batu,
Buluh hutan buatkan galah,
Kasih sayang tak boleh tentu,
Jodoh pertemuan di tangan Allah.
4.
Asap api embun berderai,
Patah galah haluan perahu,
Hajat hati tak mahu bercerai,
Kehendak Allah siapa yang tahu.
5.
Berapa lebat bunga rumia,
Lebat lagi bunga pegaga,
Betapa hebat pakaian dunia,
Hebat lagi pakaian syurga.
6.
Baik berburu ke seberang,
Rusa banyak di dalam rimba,
Baik berguru kita sembahyang,
Dosa banyak dalam dunia.
Antara topik penting lain termasuklah sembahyang. Sembahyang sebagai ibadah amat penting dan sering disebut-sebut dalam ajaran Islam. Bagi orang Islam, tidak ada gunanya kejayaan yang dicapai jika tidak ingat kepada Allah dengan bersembahayang.
Contoh pantun yang mengingatkan umat Islam supaya tidak meninggalkan sembahyang;
1.
Sebatang pohon daunnya rimbun,
Lebat daunnya tiada buahnya,
Walaupun hidup seribu tahun,
Kalau tak sembahyang apa gunanya.
2.
Malam ini malam Jumaat,
Pasang lilin depan pintu,
Kalaulah kita umat Muhammad,
Kena sembahyang lima waktu.

Sepohon kayu, daunnya rimbun,
Lebat bunganya serta buahnya,
Walaupun hidup seribu tahun,
Kalau tak sembahyang apa gunanya.
Kami bekerja sehari-hari,
Untuk belanja rumah sendiri,
Walaupun hidup seribu tahun,
Kalau tak sembahyang apa gunanya.
Kami sembahyang fardu sembahyang,
Sunatpun ada bukan sembarang,
Supaya Allah menjadi sayang,
Kami bekerja hatilah riang.
Kami sembahyang limalah waktu,
Siang dan malam sudahlah tentu,
Hidup dikubur yatim piatu,
Tinggalah seorang dipukul dipalu.
Dipukul dipalu sehari-hari,
Barulah dia sedarkan diri,
Hidup didunia tiada bererti,
Akhirat disana sangatlah rugi.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar