Dengan Bismillah Kita Mulaikan

Sabtu, 29 Oktober 2011

Sirih dan Pinang dalam Adat Resam Melayu

Sirih dan Pinang dalam Adat Resam Melayu

sirih
Sirih dan Pinang - gambar hiasan
Dalam beberapa dekad yang lalu, zaman kegemilangan kesultanan dan raja-raja Melayu masih begitu akur dan taat kepada adat resam serta budaya yang tidak boleh dipisah. Sirih dan pinang berperanan penting dalam upacara, adat resam dan budaya semasa, masyarakat Melayu ketika itu.
Sirih dan pinang merupakan perkakasan penting dan menjadi satu kemestian dalam perkembangan budaya yang telah diwarisi sejak turun-temurun. Dari aspek perkembangan budaya, sirih digunakan secara meluas sejak dahulu lagi, menjadi simbol kebudayaan dan masih lagi menjadi segmen penting dalam adat istiadat budaya Melayu hari ini.
Pengunaan sirih dan pinang merangkumi aspek kebudayaan Melayu seperti seperti memakan sirih, perkahwinan, adat resam dan adat istiadat sehinggalah kepada penggunaan dalam perubatan tradisional.
Asal-usul
Tradisi makan sirih merupakan warisan budaya silam, melebihi 3,000 tahun yang lampau dan diamalkan dengan meluas di rantau Asia Tenggara, hingga ke abad ini. Pengamalnya terdiri dari pelbagai golongan masyarakat termasuk pembesar negara, raja serta kalangan istana dan tidak ketinggalan juga kanak-kanak.
Tradisi ini tidak dapat dipastikan dari mana asalnya. Kemungkinan besar tradisi ini berasal dari India, berdasarkan cerita-cerita sastera. Jika diambil bukti dari sumber linguistik pula, kemungkinan besar tradisi ini berasal dari kepulauan Indonesia. Pelayar terkenal Marco Polo di abad ketiga belas telah menulis dalam catatannya bahawa terdapat segumpal sentil atau songel tembakau dimulut kaum India. Kenyataan ini dijelaskan juga oleh penjelajah terdahulu daripadanya seperti Ibn Batuta dan Vasco Da Gama yang menyatakan terdapat masyarakat di sebelah Timur memakan sirih.
Sementara di Malaysia, tradisi ini dikatakan mungkin bermula tanpa pengaruh luar. Masyarakat India menyatakan bahawa sirih pada mulanya bukan untuk dimakan, tetapi adalah sebagai bahan persembahan sewaktu sembahyang di kuil-kuil sahaja. Beberapa daun sirih akan dihidangkan bersama-sama sebelah kelapa yang telah dibelah dua berserta dua biji pisang emas sebagai persembahan untuk dewa.
Kini sirih menjadi popular dikalangan masyarakat Melayu, selain dimakan, sirih juga digunakan sebagai simbol adat resam dan adat istiadat Melayu. Sirih junjung dihias cantik sebagai sebahagian barangan hantaran pengantin dan penyeri kepada pengantin perempuan. Sirih juga didapati digunakan dalam upacara rasmi kebesaran istana dan kerajaan.
Pengunaan
Penggunaan sirih dan pinang boleh dilihat dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat.
Makanan
Selepas penat mengerjakan bendang atau menuai padi, petani kebiasaannya memakan sirih sambil berbual-bual. Para nelayan pula membawa bekal sirih dan pinang semasa turun ke laut untuk menangkap ikan. Di dalam sejarah, para raja di istana memakan sirih sebagai santapan waktu rehat.
Adat Istiadat
Sirih dan pinang memainkan peranan penting di dalam adat istiadat Melayu terutamanya dalam perkahwinan, bermula dari waktu merisik, pertunangan, menikah, bersanding dan beradu.
Simbol dan pengantara
Orang Melayu terutama di zaman dahulu sangat tertib dan halus dalam berkomunikasi. Sirih digunakan sebagai:-
  1. Hadiah ibu bapa kepada guru Al-Quran, sebagai tanda menyatakan keikhlasan hati menyerahkan anak-anak mereka mengaji dibimbing oleh guru tersebut.
  2. Sirih Perangsang menyemarak semangat dan menenang hati kepada perajurit ketika berperang.
  3. Mengundang seseorang ke majlis, tepak sirih dihulur, jika sirih dimakan ia menandakan undangan tersebut diterima.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar